RANAU: Seorang kanak-kanak lelaki cedera dalam kebakaran rumah di Kampung Rapak, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi itu turut menyebabkan lapan kenderaan terbakar termasuk tiga musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.01 pagi.
Katanya, bertindak dengan panggilan, sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi.
“Ketika ketibaan pihak bomba, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.
“Turut terbakar beberapa buah kenderaan iaitu empat buah kenderaan masing-masing Toyota Hilux terbakar 70 peratus, dua Proton Saga terbakar 90 dan 40 peratus serta sebuah Hyundai Sedan terbakar 10 peratus.
“Sebuah motosikal musnah sepenuhnya manakala tiga yang lain terbakar 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, dua pancutan sumber air dari jentera dan pili bomba.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun mengalami kecederaan dan sudah dihantar ke Hospital Ranau menaiki ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut,” katanya. – Info X