TAWAU: Dikurung dan dipukul menggunakan kepala tali pinggang, selain diancam menggunakan samurai.
Itu nasib seorang lelaki berusia 27 tahun yang berjaya menyelamatkan diri dengan memecah tingkap bilik sebelum melarikan diri meminta bantuan selepas dikurung oleh bapa dan abang kepada teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Merotai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat daripada teman wanitanya dikatakan mengandung.
Katanya, pada awalnya mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.
“Mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas daripada teman wanitanya kira-kira jam 7 pagi pada Selasa yang meminta untuk datang ke rumahnya.
“Setibanya di rumah berkenaan pada jam 3 petang, mangsa diarah untuk masuk ke dalam bilik dan mendakwa dikurung oleh bapa teman wanitanya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, situasi menjadi tegang apabila mangsa turut dipukul menggunakan kepala tali pinggang dan ditumbuk, selain diancam menggunakan pedang samurai oleh abang teman wanitanya.
“Mangsa turut dicederakan oleh keluarga teman wanitanya dengan menggunakan alat sterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kirinya melecur.
“Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam,” katanya.
Jasmin berkata, bertindak atas maklumat kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menahan dua lelaki berusia 30 dan 64 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun selepas cuba melarikan diri.
Katanya, turut dirampas sebuah sterika, telefon bimbit dan sebilah pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan ketika kejadian.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sehingga siasatan polis selesai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah,” katanya. – Info X