KOTA KINABALU: Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
Sekretariat perhimpunan itu dalam sidang media mereka, di sini, semalam berkata program itu bagi menyuarakan beberapa tuntutan berkaitan isu rasuah kepada kerajaan negeri.
Mereka berkata sudah menyerahkan notis mengenai perhimpunan itu kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan menerima cop sah terima setelah menunggu keputusan pegawai atasan polis.
“Hak untuk berhimpun ini termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan Akta Perhimpunan Aman 2012,” kata kumpulan itu yang mengajak rakyat Sabah menyertai perhimpunan itu sebagai tanda sokongan.

Sekretariat perhimpunan itu terdiri daripada lima pelajar tahun dua dan tiga UMS, iaitu Fadhil Kasim, Qistina Qaisara, Sudirman Arshad, Khairul Abidin dan Fathimah Al-Haura.
Perhimpunan itu dirancang diadakan di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Penyadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS).
Mereka menafikan perhimpunan itu dibiayai parti politik pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri, sebaliknya mendakwa kumpulan Suara Mahasiswa UMS adalah gerakan mahasiswa yang sentiasa berpihak kepada rakyat, tanpa disokong mana-mana parti politik.
“Parti pembangkang juga jangan mahu menunggang perhimpunan ini. Pemimpin mereka juga sedang berdepan tuduhan rasuah dan pernah disabitkan atas kesalahan rasuah,” kata kumpulan itu.
Menerusi perhimpunan itu, mereka menuntut lima perkara, antaranya menggesa ketelusan dan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani skandal rasuah ahli-ahli politik Sabah.
Mereka juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah atas dakwaan pernah dilibatkan dengan skandal rasuah.
Kumpulan berkenaan turut menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan atas dakwaan kelemahan dalam mengurus negeri, termasuk skandal rasuah yang dikaitkan dengan ahli politik Sabah.
Selain itu, mereka juga menuntut supaya perhimpunan mereka pada 31 Disember ini dijadikan amaran kepada seluruh penguasa dan mereka yang kaya-raya untuk tidak berlaku korup.
Tuntutan kelima mereka, kumpulan pelajar terbabit memberi peringatan supaya tidak menghalang mahasiswa serta rakyat yang menegakkan keadilan dan demokrasi di Sabah. – Info X