Search

Lelaki cedera dihempap dahan pokok tumbang di Labuan

December 21, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seorang lelaki cedera dan tidak sedarkan diri selepas dihempap dahan pokok tumbang di Jalan Sungai Keling, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 28 tahun dikatakan sedang berjalan kaki bersama rakannya sebelum dahan pokok tumbang dan menghempap mangsa.

Mangsa yang tidak sedarkan diri seterusnya dibawa oleh orang awam ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati dahan pokok patah menghalang jalan utama.

“Saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa dihempap dahan berkenaan dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Anggota bomba memotong dan memindahkan dahan pokok tumbang di Jalan Sungai Keling, Labuan. – Foto/Bomba

“Operasi memotong dan memindahkan dahan dimulakan dengan menggunakan gergaji berantai,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat jam 6.36 petang. – Info X