KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Keguraan, di sini, semalam.
Mangsa Rajim Kemad, 81, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas mangsa tidak kembali ke rumahnya sehingga hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.
“Menurut pengadu (ahli keluarga) mangsa keluar rumah jam 8 pagi, semalam tanpa memaklumkan kepada keluarganya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jarak satu kilometer dari lokasi rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian masih giat dijalankan.
“Operasi pencarian dijalankan seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X