Search

Lelaki ditahan, pukul bekas isteri

December 22, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai memukul bekas isterinya di sebuah rumah di Batu 2, Jalan Apas, di sini, Khamis lalu.

Suspek berusia lingkungan 40-an ditahan di hadapan sebuah restoran di Batu 5, Jalan Apas, jam 2.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam, Khamis lalu.

“Mangsa berusia lingkungan 30-an dipukul oleh bekas suaminya akibat perselisihan faham hingga menyebabkan luka di hidung, dan lebam di pipi.

“Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katany dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan laporan itu, Jasmin berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah mengesan dan menahan suspek.

“Suspek warga tempatan kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes siasatan mengikut Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X