Search

Warga emas ditemui selamat selepas 3 hari hilang

December 23, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Keguraan, di sini Jumaat lalu, ditemui selamat, hari ini.

Rajim Kemad, 81, ditemui pasukan bomba bersama penduduk kampung kira-kira jam 2.30 petang tadi pada jarak 400 meter dari kediaman mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun sedikit keletihan.

“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Bilik Kawalan BBP Kota Belud menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada jam 2.51 petang, pada Sabtu lalu.

Anggota bomba menggendong mangsa sebaik ditemui kira-kira 400 meter dari kediamannya di Kampung Keguraan, Kota Belud. – Foto/Bomba

“Berdasarkan keterangan ahli keluarganya, mangsa dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi, Jumaat lalu, tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga.

“Pasukan bomba bersama agsnsi penyelamat lain dan orang kampung melaksanakan pencarian sejauh dua kilometer dari kediaman mangsa.

“Namun, ketiadaan petunjuk jelas lokasi mangsa telah menyukarkan operasi pencarian,” katanya.

Beliau berkata, selepas perbincangan dibuat bersama ahli keluarga mangsa, operasi ditangguhkan dan akan disambung sehingga mendapat petunjuk baru.

“Operasi pencarian disambung pada hari ini atas permintaan keluarga dan mangsa berjaya ditemui,” katanya. – Info X