Search

Lelaki melecur kebakaran rumah dan kedai di Pitas

December 25, 2024

Info X Reporters

PITAS: Empat rumah dan sebuah rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Meliau, Jalan Mempakan, di sini, pagi tadi.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun cedera akibat melecur di bahagian tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 67 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi kebakaran membabitkan lima rumah kediaman dan sebuah rumah terbakar. Empat rumah dan dan rumah kedai terbakar sepenuhnya.

Rumah yang musnah terbakar di Kampung Meliau, Jalan Mempakan, Pitas. – Foto/Bomba

“Manakala sebuah rumah lagi hanya terbakar 10 peratus (terkena bahangan),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan sumber air tangki jentera.

“Operasi terkawal pada jam 10.36 pagi dan terdapat seorang mangsa lelaki melecur pada tangan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X