Search

Lelaki hilang disyaki dibaham buaya

December 26, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya di sungai Kampung Bilit, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa Maznin Kahar, 40, dipercayai dibaham buaya ketika berenang ke tebing sungai selepas bot dinaiki bersama rakannya karam, kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Sukau, pada jam 1.35 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 74 kilometer dari balai bomba.

“Menurut maklumat awal dari pemanggil iaitu saksi, mereka sedang dalam perjalanan ke lokasi memancing menggunakan perahu, kira-kira 2 pagi.

“Secara tiba-tiba perahu mereka karam dipercayai terlanggar sesuatu objek. Mereka cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

“Rakan mangsa menyedari mangsa disambar buaya dan hilang sebelum membuat laporan polis” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X