KINABATANGAN: Lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya di sungai Kampung Bilit, di sini semalam, ditemui pagi tadi.
Mayat Maznin Kahar, 40, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa disyaki dibaham haiwan berkenaan, jam 6 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) di jalankan.
Katanya, mangsa ditemui pada jam 6 pagi oleh orang awam yang turut serta dalam operasi SAR bersama pasukan keselamatan lain.
“Pasukan bomba bertindak mengambil mayat mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Semalam, BBP Kinabatangan menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada Balai Polis Sukau, pada jam 1.35 petang.

Maklumat awal yang diterima daripada saksi bahawa mangsa bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan.
Namun, ketika dalam perjalanan, bot mangsa secara tiba-tiba terlanggar sesuatu objek dan terbalik, sebelum dilaporkan karam.
Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai, tetapi mangsa dipercayai hilang dipercayai dibaham buaya.
Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan orang kampung. – Info X