Search

Isu rasuah: Ada pihak berlagak suci – PKR Sabah

December 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah mendakwa ada pihak berlagak suci dalam isu rasuah yang hangat diperkatakan di Sabah sejak kebelakangan ini.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata pihak terbabit berlagak seolah-olah tiada ketirisan pernah berlaku ketika era pentadbiran mereka sebelum ini.

“Kita sedia maklum isu rasuah di Sabah bukanlah perkara baharu walaupun beberapa bulan kebelakangan isu ini hangat diperkatakan.

“Dalam kita menuju Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), banyak pihak mula didedahkan, tidak terkecuali juga mereka yang berlagak suci seolah ketika mereka mentadbir tiada ketirisan berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pendirian kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih fokus kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keadilan dalam pengagihan kekayaan negara dan memerangi amalan rasuah, pemborosan serta penyelewengan.

Razeef berkata, bagi PKR Sabah, ia tetap berpegang kepada prinsip menentang rasuah dan salah guna kuasa serta prinsip ‘rule of law’.

“Kerana itu kita telah memaklumkan sebelum ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jalankan siasatan kepada beberapa ADUN terlibat dalam skandal video rasuah.

“Namun dalam masa sama kita tidak boleh terlalu mendesak SPRM kerana khuatir akan berlaku kecacatan dalam pendakwaan seperti beberapa kes melibatkan pemimpin politik sebelum ini sehingga terpaksa dibebaskan.

“Kita mengambil contoh beberapa pendakwaan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Dakwaan terhadap beberapa individu ini terlalu gopoh dan menunjukkan lebih kepada bermotifkan politik sehingga SPRM dilihat tidak mempunyai ruang cukup dan akhirnya kecacatan pendakwaan akibat kekurangan bukti telah menyebabkan individu terlibat dilepaskan.

“Kita berharap kes melibatkan Pengerusi BN Sabah, yang diperintah bela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah dapat diadili sebaiknya berdasarkan bukti yang ada,” katanya.

Beliau berkata, ketirisan dan kerosakan amalan urus tadbir yang berlaku banyak memberi kesan negatif sehingga menafikan kemajuan buat rakyat Sabah.

“Sebagai contoh, ketirisan sehingga RM1.5 bilion yang dipercayai berlaku ketika Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ditadbir oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2009-2015.

“Ketirisan dengan jumlah yang sangat besar ini mengakibatkan banyak projek pembangunan infrastruktur rakyat tidak berfungsi. Ini termasuk projek jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air termasuk projek pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Semporna yang menjadi projek ‘gajah’ putih’,” katanya.

Razeef berkata, rasuah dalam pentadbiran yang melibatkan penjawat awam dan ahli politik memang sukar dihapuskan walau berkali tukar kerajaan kerana sudah mengakar sejak pentadbiran lalu.

“Namun perbezaan yang dapat dilihat adalah di bawah kerajaan Madani kita tidak berkompromi terhadap individu yang melakukan rasuah serta salah guna kuasa.

“Berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya. – Info X