KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan kebimbangan terhadap pembabitan pelajar universiti itu dalam bantahan ke atas pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menerusi satu kenyataan, di sini, MPP UMS berkata tindakan itu berpotensi melanggar Seksyen 121B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman berat terhadap sebarang tindakan yang mencabar kedudukan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Katanya, walaupun hak untuk menyuarakan pendapat dijamin dalam Perlembagaan, proses pelantikan Yang di-Pertua Negeri adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang dilaksanakan setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Sabah, selaras dengan Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Sehubungan itu, sebarang bantahan terhadap pelantikan ini haruslah dilakukan melalui saluran yang sah dan dengan penuh penghormatan terhadap keluhuran undang-undang negara,” katanya.
Bantahan itu adalah antara tuntutan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini, anjuran kumpulan yang menamakan diri sebagai Suara Mahsiswa UMS.
Kumpulan itu antara lain membantah pelantikan Tun Musa sebagai TYT Ke-11 yang akan mengangkat sumpah pada 1 Januari ini atas alasan bekas Ketua Menteri Sabah itu pernah dikaitkan dengan amalan rasuah.
Sekretariat perhimpunan berkenaan dalam kenyataan mereka sebelum ini mengatakan akan meneruskan program yang membabitkan mahasiswa dan orang awam itu walaupun dihalang.
Sementara itu MPP UMS menyatakan pendirian tidak menyarankan mahasiswa untuk mengikuti perhimpunan terbabit atas dasar keselamatan serta kebimbangan terhadap tuntutan yang seolah-olah mencabar keluhuran undang-undang.
“Kami menekankan bahawa keselamatan mahasiswa adalah keutamaan kami. Lokasi perhimpunan yang dirancang, seperti jalan raya utama, adalah kawasan strategik tetapi berisiko.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap potensi bahaya lalu lintas dan kemungkinan keadaan yang tidak teratur semasa perhimpunan berlangsung.
“Tambahan pula, terdapat pertembungan antara dua perhimpunan dengan objektif yang berlainan, yang berpotensi mencetuskan provokasi dan meningkatkan risiko keselamatan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya MPP UMS tidak menghalang mana-mana individu untuk menyertai perhimpunan itu atas dasar hak kebebasan individu untuk menyuarakan pendapat dan menuntut perubahan seperti tertera dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami juga maklum bahawa perhimpunan ini telah mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Kota Kinabalu. Sekiranya terdapat mahasiswa yang tetap memilih untuk menghadiri perhimpunan ini, tanggungjawab sepenuhnya adalah di bawah kendalian mereka sendiri.
“Kami menyeru agar semua peserta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas di lokasi perhimpunan, bertindak dengan penuh disiplin dan menjaga tatasusila untuk mengelakkan sebarang provokasi serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dalam setiap situasi yang mungkin berlaku,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, MPP UMS sentiasa komited memperjuangkan integriti dan dengan tegas mengutuk amalan rasuah kerana ia adalah perbuatan yang tidak bermoral dan jijik serta merosakkan asas negara.
Katanya, rasuah juga mengancam kestabilan negara serta memburukkan reputasi pentadbiran, sekali gus menghalang rakyat daripada menikmati keadilan dan ketelusan yang sepatutnya.
“Kami menyokong sepenuhnya usaha untuk memerangi rasuah, dengan menegakkan undang-undang yang tegas dan siasatan yang menyeluruh oleh badan yang berwibawa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“SPRM berfungsi sebagai badan bebas, yang tidak tunduk kepada mana-mana pihak, sama ada kerajaan, organisasi politik atau individu tertentu.
“Akta 694, Seksyen 7(c), Seksyen 29(3) dan Seksyen 30 jelas memperuntukkan kuasa SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap semua kes rasuah tanpa sebarang campur tangan.
“Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk memberikan kepercayaan penuh kepada SPRM dalam menjalankan tugasnya secara profesional dan telus,” katanya.
MPP UMS turut menggesa semua pihak, khususnya mahasiswa, untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam setiap keputusan yang diambil, selaras dengan nilai-nilai integriti dan kearifan. – Info X