TAWAU: Pemandu kereta yang merempuh pintu cermin sebuah bank di dan beberapa kenderaan yang parkir di Jalan Mahkamah, di sini, awal pagi tadi, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
Malah lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu juga didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihak polis menerima maklumat berkenaan satu kes kemalangan di kawasan Bandar Tawau pada jam 5.15 pagi.
Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki terbabit terbabas melanggar beberapa kenderaan lain dan pintu kaca sebuah bank.
“Siasatan mendapati pemandu kereta terbabit tidak mempunyai lesen memandu, selain memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.
“Akibat kemalangan itu telah merosakkan pintu kaca sebuah bank dan beberapa mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, pemandu terbabit ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020),” katanya. – Info X