Search

Perhimpunan aman tidak wakili UMS – Naib Canselor

December 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’ dirancang sekumpulan pelajar yang menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 31 Disember ini tidak mewakili universiti itu atau mana-mana entitinya.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, menjelaskan kumpulan mahasiswa yang menganjurkan perhimpunan di hadapan Menara Kinabalu itu perlu mematuhi undang-undang berkaitan.

“UMS ingin menjelaskan bahawa kumpulan mahasiswa yang akan menganjurkan ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’ pada 31 Disember 2024 di hadapan Menara Kinabalu adalah tidak mewakili UMS atau mana-mana entiti dalam UMS termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga universiti ini.

“UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan itu agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan termasuk arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan dan keselamatan mahasiswa serta ketenteraman awam,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Kasim berkata UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika.

“Sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi dan menyeru agar pelajar UMS tidak terbabit dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam.

“Warga UMS juga sentiasa dinasihatkan agar menjunjung kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika berinteraksi sosial sesama manusia dengan cara menghormati orang lain, berkomunikasi secara berhemah, bertanggungjawab, bertoleransi dan bersangka baik,” katanya. – Info X