KENINGAU: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tuarid Taud, di sini, kira-kira 2 petang, semalam.
Angellinney Vionney Hard, 15, sehingga kini masih belum pulang dan laporan kehilangannya dibuat oleh ahli keluarga, kira-kira jam 4.20 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, usaha mengesan orang hilang berkenaan masih dijalankan.
“Polis Keningau menerima laporan mengatakan ada seorang anak perempuan berusia 15 tahun berbangsa Dusun telah keluar rumah kira-kira 2 petang semalam.
“Sehingga kini masih belum balik dan tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yampil berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai jika mempunyai maklumat berkenaan individu terbabit untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Azlie Majinam di talian 011-63148182,” katanya. – Info X