KOTA KINABALU: Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah tetap dengan pendirian untuk meneruskan perhimpunan itu di hadapan Menara Kinabalu, di sini, petang esok.
Menerusi satu kenyataan, di sini sekretariat itu tidak berganjak dengan keputusan mereka untuk berarak dan berhimpun serta mengajak orang ramai menyertai mereka meskipun dilarang pihak polis.
Malah, mereka menyifatkan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun hari ini yang tidak membenarkan sebarang perhimpunan aman di kawasan Menara Kinabalu sebagai tidak memahami undang-undang.
“Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan tetap diteruskan selaras dengan Perkara (10) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.
“Datuk Jauteh Dikun sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dilihat naif dalam mendalami undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan dan pesanan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 4 Mac 2024 iaitu ‘perhimpunan aman tidak perlu permit, mungkin polis tersilap cakap’,” kata kenyataan sekretariat perhimpunan itu.
Mereka mendakwa kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah itu tidak berperlembagaan, malah menasihatinya untuk melakukan semakan fakta terlebih dahulu dan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kepada pengamal media.
“Pihak sekretariat akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang (saman) terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah kerana telah menimbulkan kekeliruan kepada awam.
“Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan tetap berjalan seperti yang dirancang dan kami di pihak sekretariat menyeru puluhan ribu rakyat Sabah untuk turun bersama,” katanya.
Perhimpunan itu dianjurkan kumpulan yang menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Terdahulu, Jauteh pada sidang medianya hari ini menegaskan hanya Karnival Ria Kinabalu dibenar diadakan di kawasan Menara Kinabalu esok.
Katanya, sebarang perhimpunan lain tidak dibenarkan. – Info X