Search

Fahmi sahkan kena ‘roger’ polis, sedia untuk disiasat

December 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza berkata, dia bersedia untuk disiasat dan akan tampil sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, ia susulan kenyataan Polis Sabah, petang ini, yang mengatakan dia kini sedang dicari dan akan disiasat mengikut Akta Hasutan.

“Polis dah roger! Dalam perjalanan ke balai untuk disoalsiasat polis KK berkaitan posting Facebook pasal poster Koruptor No. 1 Sabah yang aku tampal di KK.

“Rasanya ada lebih 10 laporan polis dibuat terhadap aku. Aku disiasat bawah S4(1) Akta Hasutan, Akta Sakit Hati (S233 AKMM) dan S504 KK.

“Kalau aku tak update sebelum jam 8pm maknanya aku akan tidur lokap malam ni,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, polis sedang mengesan Fahmi selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, susulan laporan polis yang diterima di seluruh Sabah itu, satu kertas siasatan terhadap individu berkenaan dibuka.

“Setakat ini, kita telah menerima lebih 30 laporan berkaitan dengan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telahpun dibuka.

“Kita mencarinya untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya dan pihak polis akan memastikan siasatan ke atas kes berkenaan diteruskan,” katanya pada sidang media berkaitan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya percaya Fahmi masih berada di negeri ini dan mungkin hadir pada perhimpunan aman yang dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di hadapan Menara Kinabalu, petang esok.

Katanya, Fahmi dikehendaki polis untuk siasatan di bawah Akta Hasutan dan akan mengambil tindakan jika dia hadir pada perhimpunan berkenaan.

Fahmi, katanya, turut dicari bagi siasatan menghina pelantikan Tun Musa sebagai TYT baharu melalui poster satira karikatur bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilukisnya.

Sebelum ini, Fahmi memuat naik poster satira karikatur Tun Musa dengan imej negatif sebagai bantahan terhadap pelantikannya atas alasan pernah dikaitkan dengan rasuah. – Info X