LABUAN: Sekumpulan penyeludupan bertindak membuang minuman keras yang dipercayai tidak bercukai ke laut selepas menyedari kehadiran Pasukan Polis Marin (PPM) di laut Pulau Burung, di sini, Ahad lalu.
Kegiatan berkenaan dikesan PPM Labuan ketika dalam rondaan pemantauan di sekitar perairan berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, ketika melakukan rondaan terlihat sebuah bot yang mencurigakan sedang bergerak dari arah laut Kiansam menuju ke arah laut Teluk Brunei.
Katanya, bot ronda PPM Labuan bergerak menuju ke arah bot berkenaan bagi tujuan pemeriksaan namun bot itu bertindak memecut laju ke arah laut Teluk Brunei sambil membuang sesuatu ke dalam laut.
“Bot ronda PPM Labuan terus mengejar sambil mengelak objek yang dibuang ke laut hingga bot penyeludupan bergerak semakin laju dan jauh.
“Seterusnya pemeriksaan semula terhadap objek yang dibuang didapati beberapa bungkusan minuman keras yang disyaki belum bercukai dan cuba diseludup keluar ke perairan Sarawak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 66 karton minuman keras pelbagai jenama telah ditemui terapung dan dirampas untuk siasatan lanjut.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan minuman keras itu berjumlah RM10,704.38 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan sekirannya didapati tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku,” katanya. – Info X