Search

Fahmi Reza ditahan polis

December 30, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza ditahan polis petang tadi selepas dia hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, petang tadi.

Dia dipercayai ditahan kira-kira jam 5 petang, untuk disiasat mengikut Akta Hasutan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi, mengesahkan penahanan Fahmi Reza.

“Ya, masih siasatan dan kita akan mohon reman pagi esok bagi memudahkan proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, Jauteh dalam sidang medianya petang tadi berkata, pihaknya sedang mengesan Fahmi selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

“Setakat ini, kita telah menerima lebih 30 laporan berkaitan dengan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telahpun dibuka,” katanya.

Susulan kenyataan Jauteh itu, Fahmi dalam hantaran di Facebook kemudian mengesahkan dicari polis dan bersedia untuk disiasat.

“Polis dah ‘roger!’ Dalam perjalanan ke balai untuk disoal siasat polis KK berkaitan posting Facebook pasal poster Koruptor No 1 Sabah yang aku tampal di KK.

“Kalau aku ‘tak update, sebelum jam 8 malam maknanya aku akan tidur lokap malam ni,” katanya

Sebelum ini, Fahmi memuat naik poster satira karikatur Tun Musa dengan imej negatif sebagai bantahan terhadap pelantikannya atas alasan pernah dikaitkan dengan rasuah. – Info X