Search

Mayat lelaki ditemui dalam bilik terkunci

January 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemui sepasukan bomba dalam bilik terkunci di sebuah rumah di Kampung Minintod, Jalan Bantayan, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan membuka pintu bilik rumah yang terkunci oleh keluarga mangsa, jam 11.52 pagi tadi.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian membuka pintu bilik terkunci menggunakan peralatan khas.

“Selepas pintu berjaya dibuka, didapati terdapat seorang penghuni tidak sedarkan diri di atas katil.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihak keluarga mangsa akan menguruskan dan telah memaklumkan kepada agensi yang terbabit di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.43 tengah hari,” katanya. – Info X