Search

Warga emas maut ditetak kerana selisih faham

January 6, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Perselisihan faham dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga emas yang ditetak dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah kebun di Jalan Sing Ho, Merotai Besar, di sini semalam.

Mangsa warga tempatan berusia 66 tahun parah dengan kesan luka di bahagian kiri dan kanan kepala akibat ditetak suspek warga asing berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki mengatakan berlaku pergaduhan menggunakan parang, pada jam 2.44 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai menuju ke lokasi.

“Setiba di lokasi, polis menemukan mayat lelaki dengan kesan tetakan di rumah kebun berkenaan. Pasukan polis kemudian berjaya menahan suspek.

“Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa dengan kesan tetakan di bahagian kiri dan kanan kepala.

Katanya, motif kejadian dipercayai salah faham antara mangsa dan suspek.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek warga asing, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di negara ini dan bekerja sebagai buruh ladang di kebun Merotai Besar,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di Malaysia.

“Suspek turut ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X