KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukuman sebatan atas kesalahan syariah secara terbuka di khalayak ramai.
EXCO Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama kekal dengan hukuman sedia ada terhadap kesalahan takzir.
Katanya, takzir adalah hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.
“Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di Terengganu, baru-baru ini.
“Ini mengambil kira Sabah sebagai sebuah negeri yang unik, terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
“Keharmonian agama, toleransi dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dilaporkan menyokong hukuman sebat di khalayak ramai sejajar dengan syariat Islam.
Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kerajaan negeri menyifatkan kenyataan Bungsu itu sebagai pendapat dan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.
Katanya, Sabah berpegang kepada prinsip Fiqh Sabahi yang diperkenalkan oleh Mufti Sabah itu sendiri.
“Fiqh Sabahi ialah fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat serta menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah,” katanya
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap isu itu tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni. – Info X