Search

Dua wanita warga asing ditahan miliki ekstasi, ketamin

January 6, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Dua wanita warga asing dicekup bersama dadah jenis pil dan serbuk ekstasi serta ketamin dalam serbuan di sebuah kondominium di daerah ini, Jumaat lalu.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3,200.

“Jenis dadah yang dirampas iaitu lima peket plastik hitam disyaki mengandungi serbuk ekstasi seberat 166.77 gram, satu peket plastik lutsinar disyaki mengandungi pil ekstasi seberat 3.07 gram.

“Satu lagi peket plasti lutsinar turut ditemui yang berisi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 1.46 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Penampang. – Foto/IPD Penampang

Sammy berkata, kedua-dua suspek warga asing berusia lingkungan 20-an turut didapati positif dadah jenis ketamin selepas ujian saringan awal air kencing dilakukan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Polis mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya. – Info X