KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sesuatu yang mengejutkan.
Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, berkata dakwaan bekas Ketua Menteri itu kononnya Warisan sudah berulang kali menawarkan kerjasama dengan GRS tetapi hingga kini tiada kemajuan dicapai berbeza dengan situasi dialami gabungan parti pemerintah itu.
“Sejujurnya, ini adalah kali pertama kami mendengar niat tulus ini, kerana apa yang sering kami dengar daripada pihak beliau adalah kritikan terhadap GRS.
“Sebaliknya, tidak lama dahulu, Warisan kelihatan lebih cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO. Namun, jika Warisan kini benar-benar bersedia untuk membuka lembaran baharu demi kepentingan Sabah, kami menyambut baik niat itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata GRS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi visi dan misi untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dan bekerja ke arah masa depan yang lebih cerah untuk negeri ini.
Christopher percaya bahawa Sabah akan menjadi lebih baik jika semua parti politik, termasuk pembangkang Parti Warisan, mengetepikan perbezaan dan mengutamakan perpaduan.
“Ini pasti akan menjadi langkah positif ke arah masa depan yang lebih cerah untuk Sabah,” katanya berkongsi pandangan peribadinya berhubung kenyataan Shafie itu.
Jelasnya, GRS yang terdiri daripada lapan parti komponen yang semuanya berpaksikan Sabah sentiasa mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
“Jika Warisan serius untuk menyertai perjuangan ini, kami menjemput mereka untuk menghantar permohonan rasmi bagi menjadi sebahagian daripada keluarga besar GRS.
“Permohonan ini akan dibawa kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dibincangkan secara profesional dan semangat keterbukaan.
“Kami percaya bahawa jika semua pihak mengetepikan perbezaan dan mengutamakan perpaduan, ini akan menjadi langkah positif ke arah masa depan yang lebih cerah untuk Sabah,” katanya. – Info X