PUTATAN: Seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan orang awam selepas disedari hanyut dibawa ombak ketika mandi di Pantai Gorongon, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 5 petang tadi, enam kanak-kanak mandi di pantai terbabit sebelum seorang tiba-tiba dihanyutkan ombak.
Mangsa berusia 11 tahun itu bernasib baik dibantu segera orang awam yang menyedari kejadian itu sebelum ketibaan anggota bomba yang dihubungi bagi menyelamat kanak-kanak terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.
Katanya, mangsa bersama lima rakannya sedang melakukan aktiviti mandi manda di kawasan Pantai Gorongon sebelum mangsa terbawa arus ombak ke kawasan dalam.
“Rakan mangsa cuba untuk membantu menarik tangan mangsa tetapi gagal. Seterusnya rakan mangsa meminta bantuan orang awam di kawasan berhampiran.
“Empat lelaki dewasa yang menyedari kejadian itu bergegas membantu dengan berenang ke arah mangsa yang dihanyut ombak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa sempat berpaut pada gelen ketika hanyut dan diselamatkan oleh orang awam dan seterusnya dibawa naik ke pesisir pantai dengan selamat.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.43 petang,” katanya. – Info X