Search

PRN17: Warisan hanya mahu kerjasama dengan STAR, PBS, bukan PGRS – Azis Jamman

January 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan hanya mahu bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta parti tempatan lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak berdepan isu integriti.

Ia bermakna, Warisan hanya menolak kerjasama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) selaku parti tunjang dalam GRS yang disifatkan sebagai amat diragui keikhlasan pemimpinnya.

Menerusi satu kenyataan, di sini, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata dakwaan mengenai pelawaan kerjasama dengan GRS yang dilaporkan sebelum ini tidak menepati maksud sebenar yang mahu disampaikan parti itu.

Katanya, kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai soal kerjasama dengan parti tempatan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) itu disalah tafsir dan dipetik di luar konteks.

“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, telah disalah tafsir dan dipetik di luar konteks sebenar.

“Apa yang diutarakan oleh Presiden Warisan adalah pelawaan kerjasama kepada parti-parti tempatan seperti PBS, STAR, serta mana-mana parti tempatan yang tidak mempunyai isu intergriti di dalam GRS yang mempunyai keberanian dan ketegasan tanpa perlu merujuk kepada pemimpin di Putrajaya.

“Keutamaan ini adalah untuk memperkukuhkan parti tempatan Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sesuai dengan dinamika politik semasa selain Sabah sewajarnya mencontoi kebijaksanaan rakyat Sarawak memilih para pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azis berkata Warisan meragui keikhlasan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berikutan tindakan parti itu sebelum ini memujuk wakil rakyat Warisan untuk melompat parti.

“Kerjasama dengan PGRS amat diragui keikhlasannya. Sebagai contoh, semasa kemelut GRS-UMNO, Presiden Warisan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarat Hajiji Noor (Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor) keluar dari Bersatu dan menubuhkan parti tempatan.

“Namun, selepas PGRS ditubuhkan, Hajiji dan PGRS memujuk wakil rakyat Warisan untuk melompat parti lebih-lebih lagi setelah Parlimen meluluskan Akta Lompat Parti dan Hajiji sengaja melambat-lambatkan Akta Lompat Parti dikuatkuasakan di Sabah kerana usaha PGRS terus menarik wakil rakyat Warisan untuk menyertai PGRS ketika itu.

“Ini antara juga punca timbul isu kepercayaan terhadap keikhlasan Hajiji dan partinya terhadap Warisan. Tindakan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kepercayaan dan integriti politik,” katanya.

Sementara itu, Azis berkata cadangan GRS untuk mengutamakan kerjasama dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan (PH) menjejaskan matlamat bagi memperjuangkan hak Sabah.

“Cadangan untuk menggabungkan parti tempatan Sabah nampak menarik jika tujuannya untuk menuntut hak Sabah dan mempaksikan kuasa politik kepada parti tempatan Sabah.

“Namun, apabila GRS terus mengutamakan kerjasama dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan, matlamat untuk memperjuangkan hak Sabah menjadi kabur.

“Situasi ini hanya akan menjejaskan perjuangan parti tempatan dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata fokus utama Warisan adalah memastikan integriti, tatakelola yang baik dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa, selain mahu budaya ‘alibaba’ terhadap sumber-sumber Sabah dihentikan.

“Gabungan parti tempatan tanpa mempertimbangkan isu-isu ini akan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.

“Warisan percaya bahawa perjuangan untuk Sabah tidak boleh mengabaikan keutamaan terhadap integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.

“Mengetepikan perkara-perkara ini akan mengakibatkan kepercayaan rakyat kepada institusi pilihan raya, demokrasi dan kuasa semak dan imbang pasti akan menipis.

“Bagaimana mungkin Warisan ingin bekerjasama dengan parti yang amat jelas hari ini bertarung dengan isu intergriti, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya. – Info X