Search

Operasi bersepadu di Sembulan Tengah, 3 setinggan diroboh

January 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak tiga rumah setinggan atas air di Kampung Sembulan Tengah, di sini, dirobohkan dalam satu operasi bersepadu yang diketuai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), kelmarin.

Pemeriksaan mendapati, empat rumah yang dalam keadaan usang di kampung terbabit dikesan sudah tamat tempoh pajakan tanah tapi disewakan kepada warga asing.

DBKK dalam kenyataannya, berkata operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan 150 anggota dari pelbagai agensi.

Kerja meroboh setinggan di Kampung Sembulan Tengah. – Foto/DBKK

Agensi terbabit ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Electricity dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru.

Anggota DBKK pula membabitkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Harta.

Sebanyak lima aset logistik digerakkan bagi membantu operasi itu yang melibatkan dua lori, dua van dan satu kenderaan pacuan empat roda.

Turut hadir memastikan operasi berjalan lancar dan mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Hadir samaialah Ketua Pengarah DBKK, Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK, Karim Rahim.

Keadaan rumah usang yang disewakan kepada warga asing di Kampung Sembulan Tengah. – Foto/DBKK

Operasi itu turut dihadiri Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru dan Ketua Kampung Sembulan.

Sebelum melaksanakan operasi itu, DBKK sudah memberi notis awal kepada penghuni rumah terbabit sebelum tindakan perobohan dilaksanakan. – Info X