Search

Wanita maut dipercayai jatuh dari tingkat 23 kondominium di Sandakan

January 8, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang wanita maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Jalan Buli Sim Sim, di sini, malam tadi.

Mangsa warga tempatan berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam daripada orang awam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang wanita ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai jatuh dari tingkat 23 berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) lift kondominium berkenaan yang mendapati wanita itu keluar dari lift di tingkat berkenaan.

“Siasatan juga mendapati wanita itu bukan penghuni di kawasan bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya. – Info X