Search

Warisan tidak mahu sertai GRS sebab skandal rasuah YB PGRS – Terence Siambun

January 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menolak kemungkinan untuk parti itu menerima ajakan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berikutan skandal rasuah yang didakwa membabitkan pemimpin parti komponennya.

Naib Presiden Warisan, Terence Siambun, berkata GRS berdepan skandal rasuah yang menyelubungi parti komponen utama gabungan itu iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Bagaimana Warisan boleh menyertai atau membentuk pakatan pilihan raya dengan GRS sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membebaskan beberapa YB PGRS yang terbabit dalam skandal rasuah.

“Kenapa Warisan mahu cari masalah dengan membentuk pakatan pilihan raya bersama PGRS sedangkan kita semua tahu bahawa jika pakatan ini (Warisan + GRS) menang pilihan raya negeri (PRN), ia membolehkan mereka yang terlibat, bukan saja bergerak bebas, malah memegang jawatan eksekutif penting.

“Jadi, sehingga YB PGRS yang terlibat dalam skandal ini dibersihkan, maka tidak timbul sama sekali soal Warisan membincangkan sebarang pakatan pilihan raya dengan GRS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau menyatakan penghargaannya terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut atas ajakan mereka kepada Warisan untuk menyertai GRS.

Terence berkata, meskipun ajakan dua pemimpin itu memberi gambaran mengenai kredibiliti dan kewibawaan Warisan, ia tidak mungkin menjadi kenyataan disebabkan skandal rasuah itu.

Katanya, beliau memahami idealisme dan sentimen Jeffrey ke atas GRS yang akan menghalang STAR daripada menarik diri dari gabungan itu tetapi dengan cepat memberi amaran bahawa PGRS akhirnya boleh merosakkan GRS.

“Saya percaya Jeffrey memandang GRS sebagai realisme United Borneo Front (UBF) yang mana semua parti tempatan akan bersatu di bawah gabungan tempatan bagi menentang parti dari Malaya dan datang dari era dominasi penuh Barisan Nasional (BN) pada 1980-an dan 1990-an, ini mungkin mencorak pemikiran politiknya pada hari ini.

“Jeffrey sepatutnya dilantik sebagai Pengerusi GRS memandangkan dia berjuang untuk UBF di Sabah lebih daripada sedekad dan tiada maknanya meletak Hajiji sebagai pengerusi dan pada masa sama membenarkan PGRS mengawal penuh gabungan kerana mereka tidak tahu apa dibuat,” katanya.

Terence berkata, Warisan sentiasa bersedia untuk berbincang dengan STAR dan PBS mengenai pembentukan pakatan yang lebih kuat di Sabah bagi mendapatkan semula semua hak Sabah daripada Malaya seperti yang dilakukan Sarawak.

“Jika STAR dan PBS berfikir semua parti tempatan kekal dalam GRS, maka mereka perlu keluarkan PGRS atau sebaliknya semua parti tempatan boleh tinggalkan PGRS dalam GRS bagi membentuk UBF yang diasaskan Jeffrey.

“Tiada kesedihan meninggalkan PGRS dan Hajiji dalam GRS kerana Zulkarnain Mahdar dan 52 badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyertai gabungan itu nanti,” katanya. – Info X