KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau komponennya, Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah membincangkan kerjasama dengan Parti Warisan atau menerimanya menjadi ahli gabungan itu.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata walaupun ada pemimpin tertentu mencadangkan agar Warisan menyertai GRS, ia bukan pendirian rasmi gabungan berkenaan.
“Tiada perbincangan rasmi atau keputusan dalam GRS atau Parti PBS berhubung cadangan Parti Warisan untuk menyertai gabungan itu.
“Cadangan untuk menjemput Warisan menyertai GRS datang daripada pemimpin tertentu dan tidak mencerminkan pendirian rasmi gabungan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada soalan media dan penyokong GRS, khususnya dari PBS yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai pendirian gabungan itu susulan kenyataan pemimpinnya berkaitan isu kerjasama dengan Warisan.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS menegaskan, walaupun GRS mengalu-alukan idea untuk menyatukan parti tempatan demi kebaikan Sabah, ada proses yang perlu diikuti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata perkara berkenaan juga belum dibincangkan atau diputuskan secara rasmi dalam parti atau gabungan.
“Ini hanyalah pandangan individu tertentu tetapi ia belum dibawa ke meja perbincangan dalam kepimpinan GRS atau PBS.
“Kami menghargai minat untuk memperkukuhkan kerangka politik Sabah tetapi kami minta penyokong dan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan pandangan individu,” katanya.
Cadangan agar Warisan menyertai GRS timbul selepas presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan mendakwa bahawa GRS berulang kali menolak tawaran untuk bekerjasama menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Sebagai maklum balas, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut semalam mencadangkan agar Warisan memohon untuk menyertai GRS dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi gabungan itu untuk meneliti permohonannya.
Christopher turut menekankan bahawa penyatuan parti tempatan akan memberi manfaat kepada Sabah, asalkan semua pihak mengutamakan perpaduan. – Info X