Search

ESSCOM catat rampasan RM24 juta tahun lalu

January 7, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM24 juta menerusi Operasi Sanggah sepanjang 2024.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, nilai rampasan tertinggi adalah membabitkan penyeludupan rokok, arak dan barang kawalan tidak bercukai dengan nilai RM18 juta.

Selain itu, katanya, lebih 2.1 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot turut dilakukan sepanjang operasi berkenaan.

Victor (kiri) dan Dr Jamaluddin (kanan)
sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025, di Lahad Datu.

“Daripada pemeriksaan itu sebanyak 536 orang ditahan dan 227 kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 97 individu bersama-sama 44 buah bot pula diusir daripada sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025, hari ini.

Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Ketua-ketua Staf Keselamatan, Pengarah-pengarah Awam dan warga kerja ESSCOM.

Dalam pada itu, Victor menyeru seluruh warga kerja ESSCOM supaya meneruskan momentum kerja sebagai satu pasukan dalam suasana gembira dan bersemangat kental.

Warga kerja ESSCOM pada Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025, di Lahad Datu.

Menurutnya, warga kerja ESSCOM juga diminta sentiasa meningkatkan usaha berlandaskan dasar dan polisi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Sabah.

“Seruan itu adalah selaras dengan keazaman supaya Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kekal selamat dan kesejahteraan komunitinya sentiasa terjamin.

“Selain itu, ia juga bagi membantu kerajaan mengekalkan keamanan melalui inisiatif keselamatan dan kesejahteraan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan untuk Sabah terutamanya di kawasan ESSZONE,” katanya.

Victor berharap supaya sinergi kerjasama yang baik ini semua pihak akan terus kekal dan diperkukuhkan lagi pada tahun ini.

“ESSCOM akan terus komited menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memelihara kedaulatan wilayah Sabah.

“Kita akan terus melaksanakan Operasi Sanggah, Operasi Bersepadu, Gasak Darat dan Laut serta Operasi Khas bagi mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali menyatakan bahawa tiga fokus utama Bahagian Awam ESSCOM untuk Tahun 2025.

Katanya, fokus pertama adalah memperkukuh kerjasama atau kolaborasi sama ada dalam pasukan ESSCOM sendiri mahupun dengan Jabatan dan agensi luar melalui kerjasama strategik.

“Fokus kedua, inovasi dan penambahbaikan kerana ancaman keselamatan yang dinamik mendorong kita menerima pakai teknologi baharu dan kekal selangkah ke hadapan.

“Fokus ketiga pula adalah yang paling utama iaitu memperkasa sesi libat urus bersama komuniti ESSZONE,” katanya.

Justeru, katanya penting bagi warga ESSCOM untuk terus membina ukhuwah dengan komuniti ESSzone supaya mereka berasa selamat dan disokong. – Info X