Search

Keputusan Mahkamah Rayuan bukti PM tidak campur tangan – PKR Sabah

January 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bukti tiada campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata keputusan dibuat pada prosiding semalam di Putrajaya itu membuktikan Anwar tidak menyalahgunakan kuasa beliau untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membalas dendam terhadap bekas lawan politiknya.

Katanya, tohmahan dilemparkan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan berhubung isu Titah Adendum bagi meringankan hukuman Najib kepada tahanan di rumah itu adalah tidak berasas, selain bersifat fitnah.

“Di sebalik fitnah dan tohmahan terhadap Perdana Menteri berkaitan isu Adendum bagi meringankan hukuman dihadapi Najib kepada tahanan rumah, Perdana Menteri membuktikan beliau tidak menyalahgunakan kuasa untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membalas dendam terhadap bekas seteru politik beliau.

“Semalam kita dapat lihat keputusan mahkamah membenarkan rayuan semakan kehakiman kepada Najib berkaitan Titah Adendum yang memberikan beliau menjalani tahanan rumah.

“Walaupun PAS dilihat menunggang isu ini, namun semua tahu ketika PAS berada dalam kerajaan persekutuan, Najib telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

“Hanya ketika Anwar menjadi Perdana Menteri hukuman terhadap Najib dikurangkan iaitu kepada enam tahun penjara dan
denda sebanyak RM50 juta.

“Ini juga bukti bahawa Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Razeef berkata, kerajaan Madani pimpinan Anwar tidak akan membenarkan campur tangan sama ada mendesak atau menghalang siasatan.

Katanya, ia sama seperti kes lain membabitkan pemimpin politik, termasuk beberapa kes membabitkan pimpinan utama dalam kerajaan persekutuan dan negeri yang masih berjalan.

“Ini adalah reformasi yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan. Kita tidak mahu pendakwaan yang dilakukan secara gopoh akibat dendam politik mengakibatkan kecacatan pada pendakwaan yang akan mengakibatkan perasuah terlepas,” katanya. – Info X