Search

Objek disyaki bom dikhuatiri jejas pelancongan Semporna

January 8, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Penemuan objek disyaki bom peninggalan Perang Dunia Kedua di perairan Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, di sini, semalam dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan di daerah ini.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berikutan itu menggesa pihak berkuasa mempercepatkan siasatan dan pelupusan objek yang disyaki bahan letupan itu.

Katanya, penemuan objek itu yang memaksa Taman-Taman Sabah menutup Pulau Sibuan daripada kunjungan orang ramai memberi kesan kepada populariti pulau itu yang menjadi tumpuan pelancong dan penyelam.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saya telah dimaklumkan mengenai penutupan sementara Pulau Sibuan di Taman Marin Tun Sakaran susulan penemuan objek yang disyaki bom Perang Dunia Kedua.

“Saya menghargai tindakan Taman-Taman Sabah untuk melindungi keselamatan orang awam, namun saya menyeru pihak berkuasa untuk bertindak pantas bagi menangani isu ini dan memastikan pulau tersebut kembali selamat.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan keselamatan tetapi juga memberi kesan kepada industri pelancongan kita. Pulau Sibuan merupakan destinasi terkenal untuk pelancong dan penyelam, dan ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kita tidak mampu kehilangan pengunjung akibat penutupan yang berpanjangan.

“Pelancongan adalah komponen penting dalam ekonomi Semporna dan ramai rakyat tempatan bergantung kepada industri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bekas Ketua Menteri itu menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan proses
penyiasatan dan pelupusan objek yang disyaki bom itu.

Selain itu, beliau juga meminta Taman-Taman Sabah dan agensi lain yang terlibat untuk memberi garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau itu boleh dibuka semula.

“Langkah ini akan memberi keyakinan kepada pelancong dan pihak perniagaan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan isu ini.

“Semporna terkenal di seluruh dunia dengan keindahan pulaunya serta kekayaan hidupan marin. Kita mesti melakukan segala yang termampu untuk melindungi reputasi ini dan menyokong ekonomi tempatan kita,” katanya.

Semalam, Taman-Taman Sabah menerusi hebahan notis di Facebook menyatakan penemuan objek disyaki bom Pulau Sibuan dan menutup sementara pulau itu sebagai langkah keselamatan.

“Pelanggan yang dihargai, Notis Penutupan Sementara bagi Substesen Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna pada Selasa, 7 Januari 2025 hingga keadaan selamat sepenuhnya.

“Masa bermula 12.30 tengah hari.
Bencana, penemuan berkemunginan bom Perang Dunia Kedua. Segala kesulitan berhubung perkara ini adalah sangat dikesali,” kata notis itu yang dikeluarkan Pengurusan Taman-Taman Sabah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol turut mengesahkan ada penemuan objek menyerupai bom di perairan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, katanya objek itu hanya disyaki bom dan belum disahkan sama ada ia adalah bahan letupan atau bukan. – Info X