Search

Lorong memotong kurangkan kesesakan akan dibina di Jalan Ranau – Kundasang

January 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membina lorong untuk memotong sebagai langkah mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku di Jalan Ranau – Kundasang, ketika ini.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata walaupun laluan itu berstatus Jalan Persekutuan, kerajaan negeri sedia memberi peruntukan bagi menyegerakan pembinaan lorong untuk memotong.

Katanya, langkah itu perlu berikutan masalah kesesakan teruk di laluan sepanjang kira-kira 14 kilometer itu yang pada hari tertentu boleh memakan masa hingga dua jam perjalanan berbanding kira-kira 15 minit kebiasaannya.

“Jaraknya tidak jauh dan jika hari-hari biasa, tiada kesesakan, tidak lebih daripada 15 minit perjalanannya. Tapi, jika waktu sesak, boleh menjadi dua jam.

“Jadi itu yang kita fikirkan dan kita rasa itu satu keutamaan kerana ramai pengguna jalan raya yang terlibat.

“Jalan raya yang sama juga digunakan untuk perjalanan ke Kota Kinabalu, ke Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan sebagainya, ini juga yang menyebabkan kesesakan,” katanya, di sini.

Beliau ditemui media pada Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan untuk projek itu tanpa menunggu dana daripada Persekutuan.

“Oleh kerana ini mungkin memerlukan belanja yang tidak terlalu banyak, kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan belanja tersebut walaupun jalan raya itu adalah berstatus Jalan Persekutuan.

“Kita sedang menunggu reka bentuk projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan kos sebenar yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan lorong untuk memotong di laluan terbabit bertujuan membolehkan kenderaan yang lebih laju memotong kenderaan yang lebih perlahan seperti lori.

“Jika ada lori di hadapan, itu yang menyebabkan kenderaan bergerak perlahan kerana susah untuk memotong tetapi jika kita ada lorong memotong, ia memudahkan kenderaan yang lebih laju untuk memotong sekali gus mengurangkan masa perjalanan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengeluarkan peruntukan sendiri tanpa menunggu dana dari kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan usaha mengatasi kesesakan di laluan berkenaan.

“Pada prinsipnya, kerajaan negeri tidak akan menunggu kerajaan persekutuan. Memang lebih baik jika mereka keluarkan perbelanjaan kerana itu Jalan Persekutuan tetapi jika kita rasa terlalu lambat bagi mereka untuk melaksanakan, kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan.

“Ini kerana ia melibatkan kepentingan awam yang betul-betul ramai yang terkesan,” katanya. – Info X