Search

Mangsa kedua kemalangan di Jalan Semporna-Tawau meninggal dunia di hospital

January 9, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Pemandu pacuan empat roda yang parah dalam kemalangan di Kilometer 51, Jalan Semporna – Tawau, di sini, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Semporna, petang tadi.

Ia menjadi dua mangsa maut dalam kemalangan yang berlaku, kira-kira 7.25 pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian adalah pemandu van lelaki berusia lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Hemkkumar Ayathuray di talian 012-3650021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pagi tadi, kemalangan membabitkan sebuah van bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux hilang kawalan lalu masuk ke lorong jalan bertentangan hingga mengakibatkan berlaku perlanggaran. – Info X