Search

Bomba selamatkan keluarga terperangkap dalam banjir kilat di Ranau

January 10, 2025

Info X Reporters

RANAU: Bomba menyelamatkan empat individu daripada sebuah keluarga di Kampung Sedul 1, di sini yang terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat malam tadi.

Laporan kejadian diterima pada jam 9.35 malam sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, sebaik pasukan bomba tiba di lokasi terdapat sebuah keluarga masing-masing dua dewasa dan dua kanak-kanak terperangkap banjir.

“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa terperangkap banjir untuk menyeberang sungai yang dinaiki air menggunakan tali dan jaket keselamatan.

“Semua mangsa seterusnya dihantar ke rumah saudara mara dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 11.22 malam.

Sebelum itu, pasukan bomba menjalankan pemantauan di empat kampung yang terjejas akibat banjir kilat iaitu di Kampung Libang, Kananapon, SK Libang dan Kituntut. – Info X