Search

PPM tahan dua lelaki bawa petrol tanpa permit

January 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dan merampas petrol dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dalam kejadian berasingan di Semporna dan Sandakan.

Kedua-dua suspek warga tempatan ditahan selepas didapati membawa muatan petrol tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada 8 dan 9 Januari.

Komander PPM Wilayah Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, tangkapan pertama dijalankan PPM Sandakan di kawasan perairan Pulau Nunuyan.

Katanya, ketika pasukan PPM menjalankan rondaan mengesan satu objek di dalam radar dan terus menuju ke lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati di ruangan kargo bot menemui beberapa tong berisi petrol dan beberapa tong gas yang disyaki tiada dokumen kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDN.

“Seorang lelaki berusia 32 tahun bersama rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazri berkata, serbuan kedua menahan dan memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki di Semporna.

Kenderaan muatan petrol ditahan PPM Semporna selepas pemandu gagal mengemukakan sebarang permit yang sah daripada KPDN. – Foto/PPM

“Hasil pemeriksaan terdapat 31 tong berisi petrol di dalam ruangan belakang kenderaan. Pemandu gagal mengemukakan sebarang permit yang sah daripada KPDN.

“Pemandu berusia 35 tahun dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Nazri mengingatkan orang awam supaya tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku. – Info X