LABUAN: Seorang pemilik syarikat ditahan selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan kerja pendawaian bangunan bernilai RM300,000, di sini, tiga tahun lalu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2022.
“Suspek juga disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja pendawaian senggaraan bangunan bernilai kira-kira RM300,000 sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan,” katanya hari ini.
Susulan penahanan itu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan bagi mendapatkan perintah tahanan reman, pagi tadi.
Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad kemudian membenarkan suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 15 Januari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X