KOTA MARUDU: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi ‘low level crossing’ Sungai Simpangan, di sini, hari ini.
Lelaki terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya tersangkut di batu sungai, sebelum dia naik ke bumbung kereta.
Penduduk kampung yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi bomba bagi meminta bantuan menyelamatkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah hanyut oleh arus deras ketika cuba untuk menyeberangi jalan konkrit di sungai berkenaan.
“Mangsa dalam keadaan selamat berada di atas bumbung kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bertindak menyeberang sungai untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali.
“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.08 petang,” katanya. – Info X