Search

Pemandu maut tersepit dalam lori terbabas

January 11, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas maut selepas tersepit dalam lori dipandunya yang terbabas di Kampung Mengaris, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba tidak lama kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.49 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir terbabas sendiri di tepi jalan.

Anggota bomba memeriksa lori terbabas dalam kemalangan di Kampung Mengaris, Kota Marudu yang mengorbankan pemandunya. – Foto/Bomba

“Terdapat seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Hydraulic Jack),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh (KKM).

“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan jam 9.10 pagi,” katanya. – Info X