KOTA KINABALU: Pengurusan sekolah di negeri ini diingatkan tidak memotong bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada murid dan pelajar bagi sesi 2024 / 2025 yang akan diagihkan bermula Isnin ini.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, berkata beliau berharap tiada lagi kes seumpama itu berlaku pada kali ini.
Beliau berkata, pihak sekolah perlu mengagihkan bantuan itu dengan baik mengikut prosedur yang ditetapkan dan dibuat segera bagi manfaat murid dan pelajar di seluruh negara.
“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan persekolahan kepada semua murid dan pelajar di Malaysia dan kita menasihatkan pihak sekolah agar dapat mengendalikan pengagihan dengan baik pada kadar segera.
“Pada masa yang sama kita berharap pihak sekolah memastikan pengagihan bantuan itu dilakukan mengikut kadarnya supaya tidak ada lagi isu-isu seperti pemotongan bayaran di mana-mana sekolah.
“Kita mengharapkan bantuan itu dapat diberikan sepenuhnya kepada murid dan pelajar mulai minggu depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Murid Prasekolah dan Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Guru Besar SK Pulau Gaya, Nordin bin Abd Rashid.
Mohd Arif diminta mengulas pengumuman KPM semalam mengenai pengagihan BAP yang akan bermula pada Isnin ini.
Sebelum ini, beberapa kes pemotongan bantuan pernah dilaporkan berlaku di sekolah tertentu di Sabah menyebabkan ibu bapa murid dan pelajar tidak berpuas hati.
Mohd Arif berkata, walaupun tidak seberapa, bantuan itu penting bagi meringankan beban ibu bapa, khususnya yang berpendapatan rendah untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak.
Semalam, KPM dalam satu kenyataan mengumumkan pengagihan BAP sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2024/2025, bermula 13 Januari ini.
Menerusi kenyataan itu, KPM berkata agihan BAP sebanyak RM150 untuk pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari depan, manakala agihan kepada pelajar Tingkatan 6 baharu akan bermula pada 1 Julai.
Kerajaan memperuntukkan RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid dan secara sekali bayar yang akan memberi manfaat kepada 5.2 juta orang murid dan pelajar.
Bayaran BAP kepada murid dan pelajar dilakukan pihak sekolah sama ada menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah), ibu bapa atau pelajar (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid dan pelajar atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa. – Info X