Search

KPDN tumpaskan sindiket seleweng minyak petrol di Semporna

January 11, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak petrol bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 dengan merampas 3,000 liter petrol.

Rampasan itu dibuat hasil serbuan ke atas sebuah stesen minyak di pekan Semporna oleh pasukan penguat kuasa KPDN cawangan Semporna, kira-kira jam 9 malam, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Semporna, Dr Jong Jee Leong berkata, tindakan berkenaan diambil adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh penguat kuasa KPDN sebelum operasi dijalankan.

Katanya, modus operasi sindiket ini adalah menggunakan lori serta mengisi minyak petrol di beberapa stesen minyak sebelum dikumpulkan dan diedar di pasaran gelap.

Lori bawa petrol bersubsidi dipercayai cuba diseleweng ditahan dalam Op Tiris 3.0 di Semporna. – Foto/KPDN

“Hasil pemeriksaan ke atas semua lori berkenaan, menemui sebanyak 120 tong mengandungi cecair yang disyaki petrol dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 3,000 liter.

“Sebuah lori disyaki membawa minyak petrol disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 53,369,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Ia bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak petrol berkenaan termasuk sumber minyak petrol itu diperolehi dan diedarkan.

“KPDN juga sedang giat melaksanakan pemantauan berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Jee Leong ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

“Mana-mana yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta.

“Bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Katanya lagi, syarikat terbabit juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Jika disabitkan kesalahan mengikut Akta 613 boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN,” katanya. – Info X