Search

Teruja kali pertama naik kapal terbang

January 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Saya orang kampung, ini kali pertama saya naik kapal terbang,” kata seorang peserta MYAirportCARES School, Olyvianatasha Slyvester, 17.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu itu berkata walaupun pesawat yang dinaiki tidak terbang ke mana-mana destinasi tetapi pengalaman dapat duduk di kerusi penumpang dan meninjau dalam pesawat sudah cukup mengujakan.

“Selain itu, saya juga dapat menikmati Nasi Lemak Pak Nasser, antara juadah popular dalam penumpang Air Asia,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Program itu dianjurkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Air Asia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Olyvianatasha berkata, dirinya turut mendapat pendedahan baharu berkaitan bidang pekerjaan dalam dunia penerbangan.

Olyvianatasha Slyvester.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia sebelum ini hanya mengetahui skop kerja di lapangan terbang lebih kepada juruterbang, pramugari dan pramugara namun hakikatnya masih banyak peluang pekerjaan lain yang masih boleh diceburi golongan muda.

Dalam pada itu, rakannya, Marieanne Sally Liborius, 17, turut menyatakan keterujaan pertama kali memasuki pesawat dan kawasan KKIA.

Marieanne Sally Liborius.

“Bapa saya selalu cerita mengenai pengalaman dia menaiki kapal terbang.

“Oleh itu, saya pun tertanya-tanya bagaimana struktur dalam dalam sesebuah pesawat itu sendiri.

“Peluang hari ini sesuatu pengalaman baharu buat saya. Bukan sahaja dapat naik kapal terbang tetapi mampu bertemu terus dengan juruterbang dan krew kabin,” katanya yang meletakkan sasaran mahu merasai sendiri pengalaman penerbangan pertamanya ke Kuala Lumpur kelak.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang KKIA, Jefry Ramli berkata, MYAirportCARES School adalah sebuah program tanggungjawab sosial korporat untuk memberi pendedahan kepada golongan pelajar tentang dunia penerbangan.

“Kita berkolaborasi dengan syarikat penerbangan tempatan untuk bawa semua pelajar terlibat melihat sendiri suasana dalam pesawat secara lebih dekat.

“Hari ini merupakan penganjuran kali kedua membabitkan 34 pelajar MRSM Kota Kinabalu selepas membawa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas) pada 7 Januari lalu.

“Pelajar dan guru berpeluang untuk merasai pengalaman operasi di sebalik tabir di hab kedua terbesar AirAsia di Malaysia. Aktiviti pada hari ini termasuklah simulasi daftar masuk dan perlepasan, melawat pesawat, dan pengenalan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, sebagai syarikat penerbangan, pihaknya percaya bagi memperkasa golongan belia bukan saja untuk menambah pengetahuan malah merealisasikan impian mereka dalam bidang itu.

“Melalui program ini, kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar terutamanya yang pertama kali berpeluang mendekati dunia penerbangan dengan lebih dekat.

“Kita mahu mereka menjadikan sektor penerbangan sebagai pilihan kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya. – Info X