Search

Enam maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Semporna

January 12, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Enam termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Semporna – Tawau, dekat Kampung Kalumpang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, semua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka yang maut, masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.58 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Dua kenderaan yang turut terbabit kemalangan di Jalan Semporna-Tawau.

“Kemalangan membabit sebuah kereta Proton Wira, Isuzu D-Max dan Toyota Innova dengan jumlah mangsa seramai 15 orang.

“Enam termasuk seorang bayi yang menaiki Proton Wira terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Keadaan kereta Proton Wira dinaiki enam mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, seorang daripada lima mangsa yang menaiki Isuzu D Max cedera manakala empat mangsa dalam Toyota Innova tidak mengalami kecederaan.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 7.16 malam,” katanya. – Info X