Search

Bomba selamatkan 14 keluarga terperangkap dalam banjir di Kota Marudu

January 12, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seramai 58 individu membabitkan 14 keluarga di Kampung Beliajung, di sini yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air, petang tadi, diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.

Susulan itu, seramai 11 anggota bersama jentera lori, pacuan empat roda dan bot digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 18 kilometer dari balai bomba.

Mangsa banjir diselamatkan anggota bomba di Kampung Beliajung, Kota Marudu. – Foto/Bomba

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, terdapat 58 individu membabitkan 14 keluarga terperangkap dalam rumah disebabkan banjir.

“Mangsa terdiri daripada dua warga emas, 17 lelaki dan 25 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki serta sembilan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pasukan bomba bertindak memindahkan mangsa menggunakan bot Nadma ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan SK Teritipan.

Mangsa banjir dihantar ke PPS Dewan SK Teritipan, Kota Marudu.– Foto/Bomba

“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan jam 9.09 malam,” katanya. – Info X