SEMPORNA: Dua lelaki maut selepas bot laju dinaiki berlanggar dengan sebuah bot pelancong yang dinaiki 12 individu dalam kejadian di kawasan perairan laut Balimbang, di sini, semalam.
Kejadian 9.45 pagi itu, kedua-dua mangsa warga asing 45 dan 50 tahun disahkan meninggal dunia selepas terhumban ke laut sebelum ditemui tenggelam di dalam laut.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabri Zainol berkata, kejadian berlaku ketika bot pelancong sedang dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul bersama 12 pelancong lalu berlaku perlanggaran dengan sebuah bot laju.
“Perlanggaran itu menyebabkan kerosakan teruk kepada bot laju yang dinaiki dua lelaki yang dikenal pasti bukan warga negara.
“Akibat daripada perlanggaran itu juga, pengemudi dan penumpang bot laju terhumban ke laut dan dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Sabri berkata, usaha mencari kemudian dilakukan oleh orang awam termasuk bot yang terbabit.
“Hasil daripada pencarian itu menemukan kedua-dua mangsa yang tenggelam di dalam air dalam keadaan tidak bernyawa.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Susulan kejadian itu juga, beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
“Polis juga memohon bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis juga menasihati semua pemilik bot supaya berhati-hati ketika menggunakan bot terutama di kawasan yang sibuk di samping menyediakan peralatan keselamatan seperti memasang lampu pada waktu malam, selain menyediakan jaket keselamatan dan sebagainya,” katanya. – Info X