Search

Lelaki maut dirempuh lori ketika lintas jalan

January 16, 2025

Info X Reporters

RANAU: Seorang lelaki maut selepas dirempuh lori ketika melintas jalan dalam kejadian di hadapan sebuah stesen minyak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 41 yang tercampak ke atas jalan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa bekerja sebagai kelindan lori yang parkir di tepi jalan hadapan stesen minyak cuba melintas jalan.

“Pada masa yang sama lori yang datang dari arah kanan jalan tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki (kelindan) serta digesel oleh bahagian belakang lori berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pejalan kaki tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing juga telah dibuat terhadap pemandu lori berusia 40 tahun dan disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Hasil siasatan awal juga mendapati punca kemalangan turut disebabkan oleh pejalan kaki terbabit, melintas jalan tanpa memperhatikan kenderaan yang bergerak di jalan lurus.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata semua pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memberhentikan kenderaan di bahu kiri dan kanan jalan berhadapan stesen minyak Petron dan SK Benedict Ranau kerana kawasan berkenaan bukan tempat parkir terutamanya kenderaan berat.

Katanya, tindakan pemandu memberhentikan kenderaan di kiri dan kanan jalan tempat kejadian boleh menyebabkan gangguan aliran kenderaan dari kedua-dua arah dan laluan keluar masuk dari pekan Ranau dan risiko berlakunya kemalangan.

“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang ingkar dan melanggar peraturan jalan raya.

“Bersama-sama kita patuh kepada peraturan jalan raya dan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini atau kemalangan berlaku,” katanya. – Info X