Search

UMNO Sabah ada autonomi, UMNO Pusat tidak campur tangan – Suhaimi Nasir

January 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan ia memiliki kuasa autonomi tanpa campur tangan atau arahan daripada UMNO Pusat, terutama dalam memilih rakan gabungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah berhubung perkara itu, kecuali hanya menasihati berkaitan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri yang memberi kebebasan kepadanya untuk melakar dan menentukan hala tuju politik UMNO Sabah sendiri.

“Perlu saya tegaskan, sehingga ke hari ini, UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah terutamanya dalam memilih rakan gabungan pada pilihan raya Sabah akan datang.

“UMNO Pusat melalui Majlis Kerja Tertinggi hanya menasihati UMNO Sabah mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan politik di Sabah kerana kedua-dua gabungan ini menjadi asas utama pembentukan Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, nasihat UMNO Pusat mengenai kerjasama BN dan PH itu mengambil iktibar yang dipelajari pada penggal lalu apabila tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan bertukar dalam satu penggal hingga merugikan rakyat dan negara.

“Nasihat itu juga adalah kerana UMNO sebuah parti nasional dan perlu untuk mencapai keseimbangan agar tidak wujud konflik di antara UMNO Sabah dan UMNO Pusat, namun akhirnya keputusan dan punca kuasa terserah kepada UMNO Sabah.

“Autonomi ini bukan sekadar simbolik dan melambangkan komitmen tinggi UMNO dalam menghormati hak dan suara rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata autonomi itu diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional yang memahami, membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.

“UMNO Sabah dan rakyat bagai akar di tanah, pucuk ke awan,” katanya. – Info X