KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Telupid, Beluran dan Sandakan sehingga esok.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan jabatan itu tengah hari tadi, tiga daerah di pantai timur itu berdepan cuaca buruk atau tahap jingga bermula hari ini.
“Amaran Hujan Berterusan (BURUK) berkuat kuasa sehingga 17 Januari 2025 melibatkan Sabah: Sandakan (Telupid, Beluran & Sandakan),” kata kenyataan itu.
Selain itu, MET Malaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada atau kuning di pantai barat Sabah, khususnya di Ranau dan Kota Belud bermula hari ini hingga esok.
Keadaan cuaca yang sama juga diramal berlaku di Kinabatangan dan Kudat sehingga esok.
MET Malaysia berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Info X