Search

Persatuan Insan Cahaya Harapan rai warga emas, OKU sempena Tahun Baharu Cina

January 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Insan Cahaya Harapan meraikan penghuni Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kinarut dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak OKU Bukit Harapan, di sini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Seramai 36 kanak-kanak dan 12 kakitangan di Bukit Harapan serta 96 warga emas dan 32 kakitangan Rumah Warga Tua Sri Pritchard diraikan ketika kunjungan ke rumah kebajikan terbabit baru-baru ini.

Pengerusinya, Liew Yen Wee berkata, menerusi inisiatif itu Persatuan Insan Cahaya Harapan menyerahkan sumbangan berupa angpao dan limau Mandarin selain menghiburkan penghuni dengan persembahan Tarian Singa.

“Kesemua yang diagihkan pada kunjungan itu adalah hasil sumbangan daripada Kelvin Chin, Ron’s Cafe, LC Trading dan Kelab Tarian Naga dan Singa Jia Le Sabah,” katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Setiausaha Persatuan Insan Cahaya Harapan, Tonny Lim dan Timbalan Bendahari, Rusmina Gani serta beberapa ahli lain.

Liew berkata, sumbangan yang diagihkan kepada penghuni kedua-dua rumah kebajikan itu diharap dapat menceriakan mereka dan turut sama merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Liew menyatakan harapannya agar ada pihak sudi tampil memberi sumbangan untuk diagihkan kepada pusat jagaan atau golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami berbesar hati jika ada orang ramai atau majikan sudi memberikan sumbangan ikhlas berupa angpao dan limau Mandarin untuk diserahkan kepada mana-mana pusat jagaan atau pihak yang memerlukan.

“Selain itu, sumbangan tunai atau barangan dapur daripada orang ramai untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan juga amat dialu-alukan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai sumbangan, katanya boleh diajukan kepada Persatuan Insan Cahaya Harapan melalui talian 014-3613688, manakala sumbanhan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Public Bank 322 664 5032 milik persatuan itu. – Info X